12 November 2008

UMNO dan citarasa generasi muda.


PERSIDANGAN UMNO telah membincangkan beberapa usul pindaan yang dikira amat menepati cita rasa golongan muda dan ini amat dialu-alukan. Selama ini golongan muda Melayu menganggap UMNO sebagai suatu wadah perjuangan yang tidak menarik. Dalam UMNO sendiri sebelum ini terdapat beberapa halangan yang tidak menggalakkan golongan muda menyertai UMNO.

Beberapa pindaan perlembagaan yang menunjukkan bahawa UMNO bukan saja prihatin kepada permintaan ahli-ahli di akar umbi tetapi juga sedar akan cabaran yang di hadapi oleh kepimpinan Melayu sekarang. Antara usul yang telah diluluskan ialah memberikan kelonggaran kepada ahli untuk bergiat cergas dalam kepimpinan UMNO tanpa menunggu tempoh tiga tahun dan proses pendaftaran keahlian mereka dipercepatkan.

UMNO di peringkat cawangan atau bahagian sebelum ini hanya dipimpin oleh penduduk setempat yang telah lama giat dalam parti . Kebanyakan mereka adalah veteran UMNO yang mempunyai pendekatan lama dalam menghadapi masalah setempat. Mereka harus sedar bahawa mereka tidak memimpin penduduk yang sama semenjak dua puluh tahun yang lalu.

Penduduk di sesebuah kampung itu semakin membesar, terutama kampung-kampung Melayu yang berada di pinggir bandar.

Kalau dahulu hanya beberapa ratus buah rumah sahaja di kampung itu, tetapi sekarang setiap buah rumah sudah mempunyai beberapa buah pintu. Di kampung itu sekarang diduduki oleh tiga generasi, tidak termasuk orang luar yang menyewa kerana lokasi kampung itu yang berhampiran dengan bandar.

Mereka harus melihat cabaran dan masalah yang dihadapi oleh anak muda dengan pendekatan yang lebih ampuh. Anak muda harus ditarik untuk menyertai UMNO. Anak muda tidak seharusnya dibiarkan tanpa menyertai badan politik ini kerana hanya UMNO saja yang menjadi badan yang berorganisasi yang wujud di setiap kampung.

Di setiap kampung di Malaysia mempunyai sebuah cawangan UMNO, hanya masalahnya ialah berapa orangkah anak muda yang menyertai kepimpinan masyarakat ? Berapa orangkah yang memberikan komitmen terhadap aktiviti masyarakat?

Sedangkan kebanyakan anak muda selama ini bukannya tidak mahu menyertai UMNO. Ada di antara mereka yang terpaksa mengorbankan bakat kepimpinan dan minat untuk berkhidmat dalam masyarakat kerana terpaksa menyambungkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi.

Apabila mereka kembali ke masyarakat , mereka bukan saja dicurigai dan pandangan mereka ditertawakan. Veteran UMNO yang masih melihat mereka seperti anak-anak yang masih lagi membersihkan hingus.

Memang benar dahulu mereka adalah anak-anak yang bermain lumpur di bendang, tetapi kini mereka telah diberikan tanggungjawab untuk menguruskan sebuah jabatan di sektor kerajaan atau pun swasta.

Golongan muda ini harus diberikan peluang untuk berkhidmat dan menyatakan pandangan. Mereka harus digunakan kembali untuk kepentingan masyarakat setempat. Secara tidak langsung budaya ``kembali berkhidmat di kampung'' yang di anjurkan oleh kepimpinan UMNO peringkat negeri dan kebangsaan dipupuk dan diamalkan.

Sekarang tidak ada lagi suara yang boleh menghalang anak muda ini yang menyertai UMNO. Ada beberapa orang rakan yang menyatakan rasa sedih bila proses keahlian mereka diperlecehkan. Mereka sebenarnya disekat dari menganggotai UMNO dan memberikan sumbangan kerana dikhuatiri akan menggugat kedudukan mereka. Mereka anggap UMNO ini sebagai harta mereka bukannya hak setiap orang Melayu. Bagi mereka yang mempunyai jati diri Melayu tentu saja bersabar menunggu, namun bagi yang ikhlas untuk berkhidmat kepada masyarakat tentu saja disambar oleh parti lain yang lebih bersimpati.

Orang muda yang baru kembali ke pangkuan masyarakat dan menyertai UMNO boleh terus memegang jawatan di dalam barisan kepimpinan. Apa yang diharapkan supaya mereka tidak hanya meneruskan budaya tin kosong, iaitu sebelum dilantik banyak cadangan atau kritikan dilemparkan kepada pimpinan setempat.

Namun apabila diberikan peluang menduduki kepimpinan cawangan, mereka terus tidur dan hanya dikejutkan apabila pemilihan akan datang.

Mereka harus aktif dan mempraktikkan kebolehan yang dipupuk semasa berada di institut pengajian tinggi. Kalau dulu mereka paling hebat mengutuk kerajaan, sekarang tanggungjawab merekalah untuk membangunkan masyarakat apabila kembali ke kampung masing-masing.

Pengekalan tempoh pemilihan juga memberikan kelegaan kepada barisan kepimpinan muda. Kepimpinan UMNO harus melihat bakat-bakat kepimpinan muda adalah pelapis UMNO akan datang. Setiap pemimpin UMNO haruslah mencari dan bukannya menunggu pelapis-pelapis ini.

Kenal dan asah bakat kepimpinan remaja-remaja Melayu. Mereka seharusnya ditarik ke dalam UMNO bukannya dipinggirkan. Kita harus mempunyai perancangan kepimpinan untuk tempoh tiga tahun dan lima tahun agar kita tidak ketandusan pemimpin pelapis. Ini yang berlaku dalam kepimpinan belia sekarang. Mereka menunggu daripada mencari.

Memang leceh namun inilah tanggungjawab pemimpin.

Oleh Dr Zubaidi Ahmad