02 January 2009

Kepimpinan Transaksional Dalam Konteks Politik Malaysia: Satu Analisis

Kepimpinan transaksional merujuk kepada tindakan atau perlakuan yang tidak mengikut peraturan dengan mementingkan pergerakan yang bersifat pragmatik dan bertentangan dengan peraturan dan norma yang sepatutnya dipatuhi oleh aktor-aktor politik. Ia merujuk kepada satu ruang tidak formal yang tersembunyi di dalam masyarakat yang mana ia merupakan satu perbuatan yang salah jika dilakukan tetapi pelakunya tetap mengambil tindakan tersebut bagi mencapai matlamat peribadinya. Pendekatan transaksional muncul di dalam bidang antropologi, sosiologi dan sains politik bagi menjelaskan sesuatu perkara atau tindakan oleh aktor-aktor yang tidak mampu dijelaskan oleh pendekatan lain seperti struktural fungsionalisme (Nidzam 2002). Walaupun di dalam sesebuah masyarakat terdapat norma-norma dan peraturan-peraturan sosial yang telah ditetapkan untuk dipatuhi oleh warga masyarakat tersebut, akan wujud segelintir yang cuba mengelak daripada dikenakan tindakan apabila melakukan sesuatu tindakan yang bertentangan dengan ketetapan sosial itu yang bermatlamat untuk memastikan kepentingan peribadinya tercapai. Di dalam konteks politik pula terutama di Malaysia, banyak berlaku individu yang melakukan perkara yang dianggap tidak wajar, tidak mematuhi norma sosial dan bertentangan dengan undang-undang yang boleh dikesan berdasarkan kajian-kajian oleh sarjana sains sosial. Tingkah laku politik dan pembuatan keputusan dilihat banyak didorong oleh kepentingan diri dan bagi mencapai matlamat tersebut, aktor-aktor politik ini mengabaikan tekanan sosial yang mendasari sesuatu masyarakat dan melakukan apa sahaja yang perlu untuk memenuhi keinginan politiknya. Dalam kata lain, kepimpinan transaksional memberi penumpuan kepada bagaimana aktor-aktor politik cuba mengambil kesempatan ketika mendapat peluang berbuat demikian yang boleh dimanfaatkan sebaik mungkin, termasuk menggunakan tipu muslihat walaupun tindakan mereka itu menyalahi norma dan peraturan masyarakat. Nidzam (2002) adalah antara sarjana yang mengemukakan pendekatan transaksional bagi menjelaskan senario politik di Malaysia terutama membabitkan pakatan dan perpecahan pakatan tersebut. Selain itu, beliau turut membincangkan perkembangan pendekatan transaksional di dalam bidang antropologi dan sosiologi. Dengan menggunakan ungkapan bahawa politik satu tindakan serba mungkin, beliau menjuruskan hasil kajian kepada keadaan yang mana, tiada musuh dan rakan yang kekal di dalam politik. Dengan itu, ia dapat menerangkan persoalan kenapa sesetengah aktor politik di Malaysia bertindak sedemikian dan kembali kepada tindakan untuk mencapai matlamat peribadi. Beliau mengemukakan contoh pakatan persaingan dan pakatan politik antara Tengku Razaleigh Hamzah dan bekas Timbalan Presiden UMNO, Musa Hitam pada pemilihan parti tersebut pada tahun 1981. Pada pemilihan tersebut, kedua-dua calon bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden selepas berlaku kekosongan jawatan berikutan Dr. Mahathir Mohamad dipilih menjadi Presiden UMNO.

Dengan demikian, berlaku persaingan yang cukup sengit antara kedua-dua kem calon dan keputusan berpihak kepada Musa Hitam. Pada 1984, Musa dicabar sekali lagi bagi kerusi tersebut tetapi beliau berjaya mengekalkan jawatannya. Perletakan jawatan oleh Musa Hitam kerana tidak mempunyai persefahaman dengan Presiden, menyaksikan persaingan sengit apabila Tengku Razaleigh mencabar Presiden UMNO. Dengan pendekatan transaksional, Nidzam menjelaskan kenapa pada persaingan itu, Musa Hitam telah membantu Tengku Razaleigh yang pada satu masa mencabar beliau, untuk mengalahkan Dr. Mahathir. Berdasarkan persaingan hebat pada 1981 dan 1984, semua pihak tidak menyangka bahawa akan berlaku pakatan politik antara kedua-duanya untuk menjatuhkan Presiden UMNO ketika itu yang sebenarnya banyak dicetuskan oleh kepentingan diri dan matlamat untuk mengalahkan Dr. Mahathir yang jelas tidak sehaluan dengan Musa Hitam. Selain itu, pakatan parti-parti pembangkang di Malaysia yang dikenali sebagai Barisan Alternatif, (BA) dikemukakan untuk menguatkan lagi bagaimana pendekatan transaksional dapat digunakan dalam menjelaskan senario politik Malaysia khususnya ketika isu pemecatan Anwar Ibrahim daripada kabinet. Parti PAS yang menggunakan platform Islam secara tiba-tiba berminat untuk bergabung dengan parti DAP yang sebelum ini tidak pernah difikirkan berhasil apabila berbeza dari segi aspirasi politik terutama membabitkan isu pembentukan negara Islam. Gabungan tersebut menggunakan isu Anwar untuk kepentingan politik masing-masing bagi mengalahkan kepimpinan Barisan Nasional, (BN) serta menunjukkan simpati yang tinggi terhadap Anwar yang suatu ketika pernah menjadi musuh politik kepada kedua-dua parti. Seperti diketahui, kerjasama parti PAS dan DAP tidak mungkin menjadi realiti di dalam politik Malaysia kerana DAP secara terang-terangan telah membantah penubuhan negara Islam mengikut acuan PAS dan sebagai sebuah parti berlandaskan Islam, PAS tidak akan bekerjasama dengan parti yang dimonopoli oleh orang bukan Islam. Tetapi, disebabkan ia adalah peluang terbaik untuk mengalahkan BN, gabungan pembangkang telah dibentuk dengan mengenepikan semua faktor-faktor yang menjadi punca pertembungan parti PAS dan DAP. Ini adalah salah satu aspek bagaimana pendekatan transaksional dapat digunakan di dalam politik Malaysia bagi menjelaskan tindakan-tindakan kepimpinan parti PAS, DAP dan parti pembangkang yang lain sehingga menjelmakan BA. Persaingan politik Anwar dan Dr. Mahathir pada 1998 pula mewujudkan ruang perbincangan ilmiah bagi menguji pendekatan transaksional terutama dalam menerangkan tingkah laku politik kedua-dua tokoh UMNO ini. Bukan sesuatu yang mengejutkan jika Anwar dianggap sebagai anak didik Dr. Mahathir yang menjadi harapan beliau bagi menerajui parti UMNO dan kepimpinan tertinggi negara pada masa depan. Kajian oleh Hilley (2001), Milne dan Mauzy (1999) serta Sivamurugan (2005) bersetuju bahawa pada peringkat awal, Anwar merupakan anak didik Dr. Mahathir yang mana keadaan itu memberikan kelebihan kepada Anwar untuk melonjakkan dirinya menjadi tokoh UMNO paling utama dengan pantas. Kenyataan Anwar ketika itu melambangkan betapa beliau menganggap Dr. Mahathir sebagai bapa yang telah banyak mendidik beliau dan membantu meningkatkan kerjaya politiknya. Bagaimanapun, pada tahun 1998, krisis antara kedua-dua tokoh yang sebelum ini bekerjasama dengan begitu baik telah tercetus dan kelihatan tidak sehaluan lagi. “Penampilan Anwar dengan strategi yang bertentangan dengan Mahathir sebenarnya banyak membawa kepada kejatuhan beliau walaupun beliau dilihat sebaris dengan golongan pemimpin baru ASEAN yang mahu menyuntik perubahan seperti Habibie dan Estrada. Krisis ini boleh dianggap sebagai krisis order lama dan order baru. Ramai beranggapan beliau telah dimanipulasi oleh IMF dan mempunyai hubungan rapat dengan beberapa pemimpin perbankan seperti Michael Camdessus, bekas Presiden IMF dan James Wolfensohn dari Bank Dunia serta dalam UMNO sendiri. Ini mewujudkan factionalism dalam UMNO kerana apabila Zahid Hamidi mengemukakan isu “kronism, nepotism dan korupsi” dalam ucapan Pemuda di Perhimpunan UMNO 1998, pergolakan mula melanda UMNO” (Sivamurugan, 2005:323)

Berdasarkan petikan di atas, membuktikan bahawa di dalam politik mempunyai pelbagai kemungkinan seperti yang ditegaskan oleh Nidzam iaitu rakan baik pada hari ini tidak semestinya berterusan menyokong seseorang individu lain dan kekal sebagai rakan baik. Apabila kepentingan diri dan matlamat peribadi menjadi agenda utama seseorang ahli politik, mereka tidak akan lari daripada melakukan sesuatu tindakan yang di luar jangkaan dan bertentangan dengan norma masyarakat Melayu di Malaysia. Ini dapat dilihat di dalam konteks hubungan Anwar-Mahathir yang pernah dianggap gandingan terbaik di dalam mentadbir Malaysia seperti seorang bapa-anak. Sebagai anak yang telah banyak memakan budi dan jasa si bapa, secara tiba-tiba ia muncul sebagai penentang utama kepada seorang yang telah banyak menabur budi terhadapnya. Pertentangan itu pula banyak dipengaruhi oleh agenda peribadi terutamanya Anwar yang ingin cepat menduduki kerusi Presiden UMNO dan menyingkirkan kepimpinan Dr. Mahathir dengan menggunakan pelbagai strategi seperti menggunakan Pergerakan Pemuda yang diterajui oleh Zahid Hamidi ketika itu untuk menyerang Dr. Mahathir menggunakan isu-isu nepotisme, kronisme dan rasuah. Menggunakan pendekatan transaksional di dalam kepimpinan politik Malaysia, tindakan tersebut dilihat lebih kepada usaha mencapai matlamat peribadi memandangkan mereka sendiri adalah antara kelompok pemimpin UMNO yang paling banyak menikmati kesenangan hasil nepotisme, kronisme dan rasuah berdasarkan senarai penerima kontrak, permit dan saham kerajaan yang didedahkan oleh Dr. Mahathir sebagai tindak balas kepada tuduhan-tuduhan tersebut. Lebih menarik, ahli keluarga Anwar dan Zahid sendiri tersenarai di dalam pendedahan tersebut yang membuktikan bagaimana tindakan kem Anwar bermotifkan kepentingan peribadi untuk menjatuhkan kewibawaan Dr. Mahathir. Satu lagi hujah yang boleh dikemukakan dalam melihat kepimpinan transaksional di dalam politik negara ini berdasarkan konflik Anwar-Mahathir adalah dengan melihat bagaimana isu-isu tersebut digunakan bagi menarik sokongan rakyat untuk menolak Dr. Mahathir. Anwar telah lama berada di dalam kerajaan di bawah naungan Dr. Mahathir dan mempunyai kuasa serta pengaruh secukupnya untuk memperbetulkan keadaan sekiranya tuduhan-tuduhan yang dilemparkan terhadap pentadbiran berasas. Bagaimanapun, selepas begitu lama dan merasakan dirinya cukup kuat untuk menentang Dr. Mahathir, Anwar mula menggerakkan strateginya bagi menggulingkan Dr. Mahathir dengan menjadikan Perhimpunan UMNO 1998 sebagai gelanggang terbaiknya untuk berbuat demikian. Nidzam (2006) juga membuat kajian mengenai politik gabungan di Sarawak yang dapat diperjelaskan menggunakan pendekatan transaksional terutama apabila mengkaji tindakan parti-parti komponen di negeri tersebut yang sentiasa tidak konsisten. Sebagai contoh, pada tahun 1983, BN Sarawak bersetuju menerima Parti Bansa Dayak Sarawak, (PBDS) sebagai anggota komponen yang kemudiannya dibantah oleh parti komponen lain iaitu Sarawak National Party, (SNAP). Berikutan itu, kerjasama PBDS dibentuk menggunakan formula BN-Plus. Pada 1987, PBDS keluar daripada gabungan tersebut dan pakatan BN dikenali sebagai BN Tiga. Penyertaan semula PBDS menyebabkan pakatan BN dinamakan sebagai Barisan Nasional Sarawak. Kemasukan semula dan pengunduran PBDS daripada gabungan tersebut adalah berlandaskan kepada kepentingan parti yang mana, penyertaan di dalam BN dinilai mengikut keperluan parti dan bukan kepentingan rakyat Sarawak yang masih memerlukan pembangunan. Salah satu aspek yang difahami mengenai kepimpinan transaksional adalah wujudnya sesetengah pemimpin politik yang menyarankan satu panduan sosial yang normatif tetapi beliau melakukan sesuatu yang bertentangan dengan apa yang diperjuangkan. Di dalam politik Malaysia, istilah retorik politik sudah sinonim dengan sesetengah pemimpin yang sentiasa mencari idea baru bagi menonjolkan kehebatan mereka sebagai pemimpin. Tetapi pada masa yang sama, idea-idea baru atau pun retorik-retorik politik tersebut bukanlah sesuatu yang mudah dicapai dan tidak akan berlaku dalam sekelip mata. Di sini, pendekatan transaksional dapat menjelaskan tindakan mereka yang bertujuan meraih sokongan rakyat dan bukan untuk berjuang bersungguh-sungguh bagi merealisasikan idea-idea besar itu. Sebagai contoh, Anwar Ibrahim ketika berjawatan Timbalan Perdana Menteri, telah mengumumkan pembentukan masyarakat madani di negara ini yang mementingkan penerapan nilai-nilai Islam sebagai teras pembangunan masyarakat tersebut (Anwar, 1997).“Masyarakat madani yang kita bayangkan diasaskan di atas prinsip akhlak dan pemerintahan berlandaskan hukum, bukan oleh nafsu manusia yang tidak menentu. Masyarakat di mana pertumbuhan institusi kemasyarakatan – lembaga yang menjadi pengantara antara keluarga dan negara- dipupuk dan bukannya dicantas, di mana kecemerlangan serta cita rasa harus pula menggantikan kelaihan dan kepicisan. Justeru, kita perlu menghidupkan semangat kebebasan, menyuburkan kemerdekaan diri, mengembalikan nilai keperimanusiaan dan menyegarkan sikap berlapang dada. Lantaran itu, sementara prinsip musyawarah dan demokrasi didukung, ia tidak pula disogokkan dan dipaksakan, terutama menurut acuan dan pengalaman Barat” (Anwar, 1997:49).

Berdasarkan petikan di atas, pembentukan masyarakat madani seperti diilhamkan oleh Anwar bertunjangkan prinsip akhlak, hubungan pemerintah-rakyat yang berlandaskan hukum dan bukan kepentingan diri. Manakala, rakyat pula perlu berjiwa besar dan amalan demokrasi yang tidak menurut kepada amalan di Barat. Menggunakan pendekatan transaksional, dapat dikesan bahawa lontaran idea masyarakat madani sebenarnya hanya bertujuan meraih sokongan rakyat dan meningkatkan kewibawaan Anwar sebagai pemimpin Melayu Islam tanpa ada usaha yang benar-benar gigih dalam merealisasikan pembentukan masyarakat tersebut. Ini dapat dihujah apabila masih terdapat amalan-amalan pentadbiran ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri yang tidak “membenarkan” rakyat memiliki jiwa yang besar dan menikmati kebebasan. Amalan pentadbiran yang dimaksudkan adalah pelaksanaan undang-undang pencegahan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri, ISA 1960. Kawalan media yang tidak seimbang terutama membabitkan parti pembangkang juga tidak dipulihkan ketika Anwar memegang kuasa nombor dua. Mengelakkan kebergantungan sepenuhnya kepada Barat mengikut masyarakat madani juga hanya menjadi retorik politik Anwar sahaja apabila tindakan beliau ketika krisis ekonomi 1997 bertentangan dengan apa yang dilaungkan menerusi masyarakat madani. Beliau menjadi pemimpin Malaysia yang bertanggung jawab membawa masuk pelan pemulihan ekonomi International Monetary Fund, (IMF) yang tidak menyelesaikan masalah ekonomi malah memburukkan situasi ekonomi negara. Tindakan Anwar yang tidak dipersetujui oleh Dr. Mahathir itu memperlihatkan Anwar sebagai agen IMF yang begitu yakin ekonomi akan berjaya dipulihkan dengan bantuan kuasa Barat (Athukorala, 2001). Jamaie (2004) pula membincangkan mengenai hubungan parti UMNO dengan perniagaan yang boleh juga dilihat menggunakan pendekatan transaksional untuk memahami politik Malaysia. Kejayaan UMNO sebagai parti dominan di dalam BN memperjuangkan kedudukan ekonomi orang Melayu telah membentuk kelas kapitalis Melayu. UMNO memanfaatkan sepenuhnya kuasa politiknya bagi melaksanakan dasar-dasar dan strategi bagi membantu meningkatkan kedudukan ekonomi orang Melayu terutama pembabitan dalam perniagaan dan sektor korporat. “Setelah UMNO berjaya dalam perniagaannya orang Melayu semakin tertarik untuk mendekati UMNO sama ada untuk menjadi pemimpin, penyokong atau mendekati aktor tertentu dengan tujuan memanipulasi kuasa untuk tujuan kepentingan ekonomi. Ini berlaku kerana UMNO dilihat sebagai sebuah parti politik Melayu yang dapat menyediakan kemudahan, kemewahan dan kekayaan. Ini juga menjadi sandaran untuk menambah harta kepada sesiapa yang berpeluang menjadi pemimpin atau berjaya menguasai pemimpin tertentu. Ramai peniaga Melayu yang berjaya dilahirkan dan kelompok ini juga turut terlibat dalam mewarnai suasana sistem sosiopolitik Melayu hari ini” (Jamaie, 2004:18).

Jika kenyataan di atas diambil kira, maka ternyata, pembabitan ahli di dalam UMNO tidak akan lari daripada kemungkinan yang telah dinyatakan di atas iaitu untuk kepentingan diri sendiri berbanding perjuangan memajukan agama, bangsa dan negara. Peluang-peluang untuk meningkatkan kekayaan lebih mudah jika membabitkan diri secara aktif di dalam UMNO sama ada sebagai penyokong atau pemimpin pelbagai peringkat kerana hubungan lebih rapat dengan tokoh-tokoh politik utama yang memegang kuasa membolehkan akses kepada perolehan kontrak dan tender misalnya. Walaupun matlamat penubuhan UMNO adalah membela bangsa Melayu secara keseluruhan dan menuntut ahli-ahlinya memperjuangkan kemajuan orang-orang Melayu secara keseluruhan, akan wujud segelintir yang mempunyai agenda peribadi khususnya untuk menikmati kemewahan dengan menyertai UMNO dan bukan mementingkan keperluan orang-orang Melayu secara umum. Di dalam kajian Gomez (1991) turut menyumbang kepada kefahaman kepimpinan transaksional di dalam politik Malaysia. Beliau yang menulis mengenai politik wang di dalam BN menjelaskan perkara itu disebabkan wujudnya hubungan langsung politik dan perniagaan yang menghasilkan ahli-ahli politik yang berkemampuan untuk menggunakan wang bagi memancing undi bagi satu-satu pemilihan jawatan parti. Selain itu, keperluan kepada sokongan kewangan yang besar bagi kempen mengakibatkan berlakunya banyak penyelewengan di dalam syarikat-syarikat yang dimiliki oleh parti-parti politik seperti yang dikaji oleh Gomez yang melibatkan syarikat milik UMNO, MCA dan Gerakan. Menerusi pendekatan transaksional dapat dilihat kepentingan peribadi ahli politik untuk memenangi pemilihan parti menyumbang kepada tingkah laku atau tindakan yang bertentangan dengan norma-norma masyarakat yang sentiasa memandang keji kepada perbuatan rasuah dan penyelewengan. Kajian Gale (1984) turut memberikan perspektif yang sama di dalam kajian beliau mengenai syarikat Multi Purpose Holding Berhad, (MPHB) yang dimiliki oleh masyarakat Cina di Malaysia menerusi parti MCA. Ia merupakan syarikat utama yang menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan menerusi anak-anak syarikat MCA. Gale bersetuju bahawa perniagaan tersebut menjadi sumber kewangan yang utama untuk aktiviti-aktiviti MCA dalam politik Malaysia dan pernah menjadi sumber kewangan UMNO di dalam pilihan raya ketika parti Melayu tersebut tidak mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh. Apabila parti MCA turut mempunyai penglibatan langsung di dalam perniagaan, maka menjadikan faktor kemewahan dan kekayaan sebagai tarikan utama kepada masyarakat untuk aktif di dalam aktiviti politik dengan berharapkan pulangan ekonomi yang berkepentingan peribadi seperti yang berlaku di dalam UMNO. Dengan itu, aspirasi perjuangan menerusi politik kepartian telah dipesongkan dengan adanya imbuhan berbentuk kemewahan yang menjadi sebab utama segelintir ahli-ahli politik menyertai parti-parti politik. Maka, dengan menggunakan pendekatan transaksional, kepimpinan di Malaysia tidak dapat lari daripada sindrom kepentingan diri berbanding kepentingan memperjuangkan nasib masyarakat umum. Mohammad Agus (2005) juga mengkaji topik yang sama dengan menumpukan kepada penggunaan wang bagi meraih sokongan perwakilan ketika pemilihan jawatan UMNO. Walaupun artikel tersebut hanya untuk mencari perbezaan antara rasuah politik dan wang politik, ia juga membincangkan tindakan yang dikenakan oleh jawatankuasa disiplin UMNO terhadap Mohd Isa Samad yang berjaya memenangi kerusi naib presiden pada pemilihan UMNO 2004 atas tuduhan memberi rasuah politik untuk memancing undi. Bagi tuduhan tersebut, Mohd Isa menafikan terlibat dan mendakwa tidak mengetahui berlakunya politik wang. Bagaimanapun, telah dinyatakan pada bahagian awal sorotan kajian lepas ini bahawa pelaku yang bertindak untuk mencapai matlamat peribadi walaupun bertentangan dengan norma masyarakat, melakukannya dengan cara yang tersembunyi dan halus supaya dapat mengaburi mata masyarakat mengenai salah laku tersebut.

Dalam konteks ini, tidak dinafikan Mohd Isa tidak mengedarkan wang tersebut secara langsung kepada perwakilan, tetapi jentera kempen beliau yang aktif bergerak memancing undi dengan mengagihkan sampul berisi wang ringgit kepada perwakilan. Jika diperhatikan kepada suasana setiap kali pemilihan UMNO, ia telah menjadi lumrah apabila penggerak-penggerak politik berkeliaran menemui perwakilan untuk meraih undi dengan sedikit bayaran sagu hati bagi undi berkenaan. Modus operandi sedemikian menyukarkan tindakan atau dakwaan dibuat terhadap calon-calon yang bertanding kerana ia dilakukan dengan tersembunyi tetapi mempunyai maksud yang jelas iaitu menukarkan undi dengan wang ringgit. Berdasarkan kepada analisis di atas, dapat dirumuskan bahawa kepimpinan transaksional menjadi satu amalan yang biasa di kalangan ahli politik di negara ini. Kecenderungan menggunakan apa sahaja strategi walaupun bertentangan dengan nilai dan adat kebiasaan masyarakat sentiasa wujud bagi memastikan objektif mereka tercapai. Pemimpin yang tidak pernah melaksanakan apa yang dilaungkan tetapi sekadar meluaskan pengaruhnya, melakukan penyelewengan, terbabit di dalam skandal-skandal kewangan atau rasuah dan sentiasa mencari jalan mengalahkan satu sama lain sentiasa berlaku dan dijangka tidak akan ada penghujungnya. Keadaan tersebut menjadikan pendekatan transaksional yang diasaskan di dalam bidang antropologi dan sosiologi menjadi penting di dalam mengkaji tingkah laku aktor-aktor di dalam senario politik masa kini. Peningkatan pertumbuhan ekonomi dan keperluan kepada kekayaan untuk mengukuhkan kedudukan politik akan menyumbang kepada tingkah laku sosial ahli-ahli politik untuk sentiasa melakukan yang terbaik dalam mencari peluang kemewahan tersebut. Dan, pada masa yang sama, mereka juga akan menggunakan strategi yang terbaik untuk memastikan tingkah laku mereka yang menyeleweng itu tidak dapat dikesan oleh masyarakat umum seperti yang dijelaskan oleh Nidzam (2002).“…..di dalam kehidupan seharian kita dapat melihat individu yang menolak aturan sistem ini tetapi melakukannya dengan bijak supaya tidak jelas kelihatan kesalahannya. Individu sebenarnya acap kali mengutamakan kepentingan mereka meskipun menyalahi norma sosial dan undang-undang. Tanpa disedari kita dapat melihat individu yang melanggar norma tetapi melakukannya pada kesempatan atau kelonggaran yang ada dalam norma tersebut” (Nidzam, 2002:76). Pelanggaran terhadap peraturan yang ditetapkan oleh masyarakat melalui norma, adat budaya dan kebiasaan masyarakat akan sentiasa berlaku di dalam kehidupan seharian tidak kira individu tersebut seorang pemimpin atau hanya rakyat biasa kerana kepentingan diri tidak dapat dipisahkan daripada seseorang individu.

Rujukan Anwar Ibrahim. 1997. Gelombang Kebangkitan Asia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Athukorala, Prema-Chandra. 2001. Crisis dan Recovery in Malaysia: The Role of Capital Control. United Kingdom: Edward Elgar Pub. Ltd. Boissevain, J. 1978. Friends of Friends: Networks, Manipulator and Coalitions. Oxford: Basil Blackwell. Gomez, E.T. 1991. Money Politics in the Barisan Nasional. Kuala Lumpur: Forum. Hilley, J. 2001. Malaysia: Mahathirism, Hegemony and the New Opposition. London: Zed Books.

Ho Khai Leong dan Chin, J. 2001. Pentadbiran Mahathir: Prestasi dan Krisis dalam Pemerintahan. Singapore: Times Books International. Jamaie Hamil. 2004. UMNO Dalam Politik dan Perniagaan Melayu. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. Lijphart, A. 1977. Democracy in Plural Societies: A Comparative Exploration. New Haven: Yale University Press. _________. 1968. The Politics of Accomodation: Pluralism and Democracy in the Netherlands. Berkeley: University of California Press.

Milne, R.S dan Mauzy, D. 1999. Malaysian Politics Under Mahathir. London: Routledge. Mohammad Agus Yusoff. 2005. Pemilihan UMNO 2004: Politik Wang atau Wang Politik?. Dalam Sity Daud dan Zarina Othman (pnytg). Politik dan Keselamatan. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.Nidzam Sulaiman. 2002. Hubungan Transaksional: Mencabar Model Sistem dalam Analisis Politik Gabungan. Dalam Ghazali Mayudin (pnytg). Politik Malaysia: Perspektif Teori dan Praktik. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. _______________. 2006. Pakatan dalam Politik Sarawak. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. Sivamurugan, P. 2005. Legasi Mahathir. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.