12 February 2009

Biadapnya Karpal

Karpal Singh dalam reaksinya terhadap penyingkiran Pakatan Rakyat (baca DAP) daripada tampuk pemerintahan negeri Perak amat memedihkan hati. Karpal berhasrat menyaman Tuanku Sultan Perak kerana baginda enggan memperkenankan hasrat Pakatan Rakyat membubarkan DUN Perak.

Tindakan ini mengundang rasa marah yang amat sangat bukan sahaja kaum Melayu dari UMNO, NGO malahan juga kaum bukan Melayu yang cintakan keamanan dan keharmonian negara ini. Dalam bantahan ini, mereka yang berada di pihak Pakatan Rakyat terkecuali. Mungkin kerana mereka merestui tindakan Karpal.

Bagi menyembunyikan keresahan dan kebimbangan akibat dari beratus laporan polis dan kecaman demi kecaman dari mereka yang marah dan gusar akan tindakannya, Karpal bertindak balas dengan mengugut akan mengambil tindakan terhadap mereka pula. “Jangan main-main dengan saya” kata Karpal. Pelik bukan?

Dalam tindakan Karpal ini, kita dapat melihat, dia sebenarnya seorang yang tidak peka dan tidak memahami jiwa dan perasaan orang Melayu walaupun telah berpuluh tahun berada dalam negara ini bersama dengan kaum Melayu. Sultan itu adalah salah satu lambang ketuanan Melayu di negara ini, yang pantang disentuh terutama oleh kaum lain.

Dia mengatakan tindakannya untuk menyaman Sultan bukannya satu kesalahan kerana tidak ada peruntukan undang-undang yang boleh menghalangnya. Pada 11 Februari, Karpal dengan bongkak mengeluarkan kenyataan lagi dengan meminta Sultan Perak tampil dan membuat kenyataan terbuka, mengapa baginda tidak boleh disaman. Siapa Karpal yang begitu lancang untuk meminta Sultan membuat sesuatu. Biadap.

Kita menuntut Karpal menyedari, bukan semua perkara boleh ditutup dengan tindakan perundangan. Kita juga ingin bertanya, sekiranya ibu bapanya melakukan sesuatu yang dianggap tidak menyenangi hatinya, adakah Karpal akan bertindak menyaman mereka, hanya kerana sistem perundangan tidak ada kuasa menghalangnya?

Karpal harus memahami, Sultan di negara kita sekarang ini bukan sahaja payung kepada orang Melayu tetapi juga sebagai payung negara. Rasanya Karpal bukan tidak memahami, bukan tidak mengetahui, bukan tidak tahu akan segala hal ini, tetapi keegoannya yang membuatkan dia bertindak sedemikian.

Bagi orang Melayu yang menyokong DAP, cukuplah sokongan yang saudara berikan. Hentikanlah sokongan saudara kepada parti berkenaan. Sebenarnya, tindakan Karpal itu bukan hanya tindakannya secara individu tetapi adalah gambaran sebenar parti DAP dari dahulu hingga sekarang. Tidak menyenangi akan orang Melayu. Hentikanlah juga sokongan saudara terhadap parti-parti yang bersekongkol dengan parti DAP yang secara terang-terangan memusuhi orang Melayu.

DIN