11 December 2009

Jangan Biar Tun Mahathir Dihina

Tun Daim Zainuddin, dalam wawancaranya bersama Mingguan Malaysia mengatakan, antara punca BN mengalami kekalahan teruk dalam PRU-12 adalah disebabkan penghinaan sesetengah pemimpin UMNO terhadap Tun Dr. Mahathir (TDM). Sebenarnya ramai yang sedar akan keadaan tersebut dan Tun Daim mengesahkannya. Kita menyangkakan "pemimpin" UMNO terbabit telah menyedari/insaf akan tindakan buruknya itu.

Jika benar tanggapan Tun Daim (dan ramai lagi) itu, ini bermakna pemimpin UMNO inilah yang menyumbang kepada kekalahan UMNO/BN. Kita amat kesal apabila "pemimpin" yang menyumbang kepada prestasi buruk UMNO/BN tersebut masih meneruskan perangai buruknya. TDM dengan cara yang boleh kita katakan tidak bersopan digelarnya sebagai "bapa segala perkauman". Puncanya hanya kerana TDM menyatakan agar modul Biro Tata Negara dikekalkan.

Kita merasa amat hairan mengapa "pemimpin" ini boleh mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa. Adakah dia sekarang menjadi suara DAP? Kita tidak hairan jika kenyataan ini dikeluarkan oleh DAP. Tetapi yang mengeluarkan kenyataan secara terbuka ini adalah seorang Melayu/Islam, kita merasa amat kesal. Inikah teladan yang "pemimpin" ini hendak bawakan kepada kami, golongan muda. Kami golongan muda rasanya lebih tahu menghormati pemimpin, menghormati orang tua terutama yang telah banyak berjasa kepada agama, bangsa dan negara.

Tolonglah, kami tidak mahu wujudnya pemimpin yang menjadi liabiliti kepada UMNO dalam usaha pemulihan UMNO sedang dilakukan. Kita mohon Datuk Seri Najib melihat kembali kedudukan "pemimpin" ini dalam kabinet. Kita tidak mahu PUNCA tsunami PRU-12 berulang dalam PRU-13. SEJARAH BOLEH BERULANG.

DIN